Hubungan alam dengan pantun.
Karya agung Pantun Melayu: Bingkisan Permata yang dikaji dan diperkenalkan oleh Harun Mat Piah ini banyak mengandungi pantun yang mengandungi unsur-unsur alam.
Menurut Hassan Ahmad beliau beranggapan pantun merupakan wadah yang digunakan oleh orang Melayu untuk mengungkapkan fikiran dan rasa hatinya tentang makna kehidupan, tentang kelakuan manusia dan hubungannya dengan alam sekitar.Contoh:
Baik-baik belayar malam
Arus deras karangnya tajam
Cari-cari malim yang faham
Di situ banyak kapal tenggelam.
Penggunaan unsur alam ini terlahir daripada pengkaryanya sendiri kerana, seperti yang telah kita ketahui alam amat dekat dengan jiwa manusia. Malahan, jika dilihat pada masa dahulu, alam amat penting kepada kehidupan manusia kerana ianya mempunyai pelbagai khazanah yang tidak ternilai harganya. Selain itu, pada dasarnya sesebuah pantun dengan sendirinya akan menyerlahkan persekitaran masyarakat yang melahirkannya iaitu ia menyatakan latar alam dan latar budaya masyarakat.
Pembukaan Kota Melaka.
Idealisme bersumberkan alam boleh dikaitkan dengan karya agung Sulalatus Salatin atau Sejarah Melayu yang telah di tulis oleh Tun Seri Lanang dan telah di selenggarakan oleh A. Samad Ahmad. Pemikiran tokoh ini yang mengaitkan dengan sumber alam ialah tentang penubuhan kota Melaka. Hal ini dapat dijelaskan berikutan cerita yang terdapat dalam karya agung tersebut yang mengatakan Parameswara bersama-sama pengikutnya sedang berteduh dan menyandar pada sepohon pokok kayu yang baginda sendiri tidak ketahui namanya. Kemudian, baginda bertanyakan kepada salah seorang pengikutnya, dan pengikutnya memaklumkan kepada baginda bahawa pokok kayu tersebut ialah pokok Melaka.
Di samping itu, baginda tertarik untuk menjadikan kawasan tersebut sebagai tempat untuk di bangunkan kota, negeri dan kerajaan kerana beliau ada menyaksikan satu kejadian yang menakjubkan. Peristiwa tersebut ialah mengenai peristiwa pelanduk putih yang menendang anjing pemburuan baginda. Kejadian tersebut menyaksikan peristiwa di mana anjing pemburuan Parameswara telah di tendang jatuh ke sungai oleh seekor pelanduk putih. Antara petikan cerita yang mengisahkan tentang peristiwa pembukaan kota Melaka ialah:
“..... titah baginda “Baik tempat ini diperbuat negeri, anjing alah pada pelanduk; jikalau orangnya betapa lagi?” maka sembah segala Orang Besar-Besar, “benarlah seperti titah Duli Tuanku itu.” Maka disuruh baginda tebas, diperbuat negeri. Maka titah Baginda “apa nama kayu itu?” Maka sembah orang, “kayu Melaka namanya, Tuanku,” Maka titah Raja Iskandar Syah,”jika demikian,“Melakalah nama negeri ini?”
Singapura di langgar todak
Peristiwa Singapura di langgar todak merupakan salah satu peristiwa yang berlaku di Singapura yang turut diceritakan dalam karya agung Sulalatus Salatin atau Sejarah Melayu yang telah di tulis oleh Tun Seri Lanang dalam bab 4 pada halaman 67 dalam buku tersebut. Di situ, Tuan Jana Khatib telah menilik pohon pinang sehingga pohon itu telah terbelah dua dan kejadian itu berlaku di hadapan permaisuri raja. Raja telah menitahkan hukuman bunuh ke atas Tuan Jana Khatib kerana beliau di anggap sengaja ingin menunjuk-nunjuk kebolehannya di hadapan permaisuri.
Beberapa lama kemudian selepas peristiwa tersebut, Singapura telah menerima bencana besar iaitu bencana serangan todak. Ramai rakyat jelata telah terkorban. Nyawa rakyat terus melayang apabila Paduka Seri Maharaja telah memerintahkan rakyatnya berkotakan betis. Kemudian datang seorang budak yang pintar mencadangkan agar mereka berkotakan batang pisang.
Dalam peristiwa Singapura di langgar todak, ada di selitkan tentang penggunaan batang pisang untuk mempertahankan Singapura. Kepintaran budak tersebut untuk mempertahankan Singapura daripada di langgar todak amat bijak sekali kerana batang pisang yang lembut akan memudahkan muncung todak terlekat di batang tersebut. Malahan, idea tersebut muncul daripada budak tersebut mungkin di sebabkan oleh keadaan sekelilingnya yang amat banyak dengan pokok pisang atau tumbuhan yang lain. Hal ini demikian kerana, keadaan persekitarannya pada masa dahulu amat banyak dipenuhi dengan pokok-pokok atau unsur alam yang lagi yang masih terjaga. Sumber alam tersebut juga merupakan punca utama untuk penduduk mendapatkan sumber makanan. Malahan, sungai dan laut amat penting kepada mereka untuk mencari rezeki menyara kehidupan mereka sekeluarga di samping sebagai bahan dagangan.
Peminangan Puteri Gunung Ledang.
Peristiwa peminangan Puteri Gunung Ledang bermula apabila Sultan Melaka kehilangan permaisurinya yang sudah mangkat. Kesedihan baginda telah menarik perhatian pembesar yang menanyakan baginda jika ingin berkahwin dengan puteri yang lain. Puteri Gunung Ledang merupakan pilihan baginda.
Peristiwa yang berlaku dalam peminangan Puteri Gunung Ledang iaitu syarat-syarat yang perlu di penuhi jika sultan ingin memperisterikan beliau amat tidak relevan pada masa kini. Hal ini demikian kerana, jika di fikirkan untuk mendapatkan tujuh dulang hati nyamuk dan kuman amat tidak logik. Seperti yang kita tahu, nyamuk dan kuman amat kecil saiznya dan agak mustahil untuk mendapatkan hatinya. Justeru, peristiwa peminangan Puteri Gunung Ledang yang di tulis dalam Sejarah Melayu ini dianggap mitos.
Walau bagaimanapun, di antara syarat-syarat peminangan yang di berikan, banyak di serlahkan tentang unsur-unsur alam. Contohnya seperti emas, perak, nyamuk dan pinang muda. Hal ini dapat dikaitkan kerana, pada masa dahulu, unsur-unsur alam ini dikatakan amat sebati dalam diri manusia pada ketika itu. Selain sebagai sumber utama, ia juga menggambarkan Melaka pada ketika itu merupakan sebuah kerajaan yang amat kuat dan kaya kerana mampu membina sebuah jambatan emas dan perak yang menghubungkan Melaka sehingga ke Gunung Ledang.
No comments:
Post a Comment