Tuesday 21 May 2013

ESTETIKA DALAM KARYA AGUNG


ESTETIKA LUARAN
  • ·         Maksudnya ialah nilai-nilai keindahan visual.


ESTETIKA LUARAN DALAM PANTUN MELAYU: BINGKISAN PERMATA
a)      Pantun terdapat dalam keadaan berpasangan dan berangkap.
Terdiri daripada pantun dua, empat, enam dan lapan rangkap.

·         Contoh pantun dua kerat
Siakap, senohong, gelama, ikan duri
     Bercakap bohong lama-lama mencuri.
(Pantun Melayu, hlm. 47)

·         Contoh pantun empat kerat
Anak Cina main gelombang
     Nampak dari Tanjung Jati
Tuan umpama bunga yang kembang
     Sentiasa hidup di dalam hati.
(Pantun Melayu, hlm. 5)

·         Contoh pantun enam kerat
Kemili berjunjung naik
      Datang selingkar jatuh ke lubuk
 Jerangkan air di pangkal titi
Saya berdiri sudah nak naik
                  Berilah tikar saya nak duduk
                         Berilah air pembasuh kaki.
(Pantun Melayu, hlm. 87)

·         Contoh pantun lapan kerat
Buat bangsal di tengah hutan
     Tebaslah hutan buat halaman
 Di tepi halaman menanam kandis
      Diselang dengan pokok papaya
Biarlah sabar dengan perlahan
                 Itulah tanda tuan beriman
                        Tidak patah digoncang iblis
                              Akhirnya tuan menang berjaya.
(Pantun Melayu, hlm. 82)

b)      Pantun mengekalkan pola rima a-b-a-b pada kedudukan akhir.
Tetapi, terdapat juga pantun berima a-a-a-a.
·         Contoh pantun berima a-b-a-b
Air dalam bertambah dalam
      Hujan di hulu belum teduh
Hati dendam bertambah dendam
      Dendam dahulu belum sembuh.
(Pantun Melayu, hlm. 453)

·         Contoh pantun berima a-a-a-a
Ada seekor si burung pucung
      Kaki panjang ekornya kontong
Janganlah awak nak tunjuk sombong
      Itu binatang bernama sotong.
(Pantun Melayu, hlm. 53)

c)      Terbahagi kepada dua unit, iaitu unit pembayang atau sampiran dan unit maksud.
Lazimnya, kedua-dua unit ini mempunyai hubungan sama ada hubungan langsung atau hubungan simbolis, iaitu melalui penggunaan unsur-unsur simbolisme.

d)     Penggunaan unsur-unsur retorik
Selain menekankan aspek perlambangan atau simbolisme, penggunaan unsur-unsur majaz, metafora, simili, personafikasi, hiperbola dan lain-lain juga turut ditekankan. Penggunaan unsur-unsur ini berkaitan pula dengan aspek hubungan makna antara pembayang dengan maksud sama ada secara langsung mahupun tidak langsung.
Limau purut jatuh ke lembah
     Tiba di lembah tumbuhlah duri
Pinang mengadap sirih menyembah
     Jari sepuluh menjunjung duli.
(Pantun Melayu, hlm. 11)

Jika diperhatikan pada pantun di atas, terdapat penggunaan personafikasi. Pada baris (iii), perkataan ‘pinang’ dan ‘sirih’ merupakan benda manakala perkataan ‘mengadap’ dan ‘menyembah’ pula merupakan sifat manusia. Apabila sesuatu benda itu disifatkan dengan sifat manusia, maka itu adalah personafikasi.

ESTETIKA LUARAN DALAM SULALATUS SALATIN
a)      Penggunaan ayat pasif.
Ayat pasif ini dapat dibahagikan kepada dua iaitu ayat pasif biasa dan ayat pasif khas. Ayat pasif biasa yang digunakan adalah seperti berikut:
“Maka diikuncinya oleh baginda pintunya peti itu
dari dalam. Maka dihulurkan oranglah ke dalam laut.”
(Sejarah Melayu:12, 1988)

Dalam contoh ayat pasif biasa di atas, perkataan ‘dikuncinya’ dan ‘dihulurkan’ memberikan tanda sesuatu ayat yang diucapkan itu berbentuk ayat pasif biasa kerana perkataan tersebut bermula dengan imbuhan “di-”. Dalam teks ini, banyak lagi penggunaan ayat pasif biasa. Bagi menghasilkan penulisan yang menarik, pengarang cuba mempelbagaikan gaya penulisannya agar menarik.
                        Dalam teks Sejarah Melayu ini, terdapat beberapa contoh ayat yang menggunakan ayat pasif khas sebagai intinya. Antara contohnya ialah:
“Maka oleh Sultan Mansur Syah akan Raja Merlang
Inderagiri dikahwinkan baginda dengan anakanda baginda
Puteri Bakal; maka tiada diberi kembali ke Inderagiri.”
(Sejarah Melayu: 92, 1988)

                        Dalam contoh yang diberikan seperti di atas, penggunaan perkataan “oleh” menandakan bahawa ayat tersebut adalah ayat pasif khas. Kebanyakan ayat pasif khas akan menggunakan perkataan “oleh” ini dalam baris ayat yang digunakan.

b)      Penggunaan kata pangkal ayat.
Kata pangkal ayat merupakan perkataan yang digunakan dalam setiap ayat yang berada di hadapan ayat tersebut. Antara contoh kata pangkal ayat ialah seperti ‘maka’, ‘sebermula’, ‘hatta’, ‘alkisah’, ‘syahadan’ dan ‘arakian’. terdapat juga kata pangkal ayat ini digunakan sebagai penyambung kepada beberapa ayat. Penggunaan kata pangkal ayat ini bertujuan untuk memisahkan perenggan dengan perenggan yang lain. Contohnya:
“Sebermula akan Puteri Onang Sari pun diperisteri oleh
Sultan Mansur Syah, beranak dua orang lelaki, seorang bernama
Raja Muhammad dan seorang lagi bernama Raja Ahmad.”
(Sejarah Melayu:100, 1997)

c)      Penggunaan syair Arab.
Pengarang juga telah memasukkan syair dan bidalan Arab untuk menjelaskan sesuatu atau sebagai perbandingan.penggunaan syair atau bidalan Arab ini dalam menjelaskan sesuatu gambaran amat berkesan dan dalam masa yang sama memberi estetika kepada teks tersebut. Hal ini membuktikan keupayaan masyarakat Melaka menguasai seni sastera dalam penulisan karya agung itu.
Maka inginlah rasa baginda akan Tun Fatimah, seperti kata syair:

“Ma yarji’u al-tarfu ‘ainnuha ‘inda ru ‘yatihi, Hatta yu’ ada
i-laiya al-tarfa musytaqu”.

Yakni tidak akan berkelip kelopak mata tatkala melihat dia, hingga
berkelip kepadanya kelopak mata, makin bertambah dendam juga adanya.
(Sulalatus Salatin, hlm. 251)

Syair di atas dipaparkan ketika Sultan Mahnud terpegun melihat kecantikan Tun Fatimah. Dalam syair ini digambarkan kejelitaan Tun Fatimah akan membuatkan sesiapa sahaya yang memandangnya tidak akan berkelip mata kerana terpukau akan kecantikannya.

d)     Pengaruh bahasa Jawa.
Antaran contoh penggunaan bahasa Jawa adalah semasa rombongan Melaka ke Majapahit mengiringi Sultan Mansur Syah meminang Puteri Majapahit. Sewaktu berada di Majapahit, Hang Tuah sering dikerumuni oleh orang ramai terutamanya kaum wanita kerana ingin manatap Hang Tuah yang gagah itu.
“Geger wong ing panggung dene Sangka Ningrat teka penjurit ratu ing Daha”
      
Ertinya: Gempar orang di atas panggungan, sebab Melihat Sangka Ningrat
datang itu hulubalang ratu Daha.”
(Sulalatus Salatin, hlm. 125)



Sumber diperoleh daripada:

A. Samad Ahmad, 2006. Sulalatus Salatin: Sejarah Melayu. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

Abdul Latiff (Penyelenggara), 2012. Sulalatus Salatin: Sejarah Melayu Empayar Kesultanan Melayu Melaka. Kuala Lumpur: Balai Seni Visual Negara.

Harun Mat Piah (pengkaji), 2001. Pantun Melayu: Bingkisan Permata. Kuala Lumpur: Yayasan Karyawan


No comments:

Post a Comment